Riyadh: Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi kelmarin melaporkan 18 kes baru jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).
Selain itu, jumlah kematian akibat virus berkenaan setakat kelmarin meningkat kepada 111 kes berbanding 107 pada Jumaat.
Ia laporan terbaru yang disiarkan di laman web kementerian itu.
Mereka hanya menyebut dua kematian baru yang membabitkan seorang wanita berusia 69 tahun yang menghidap batuk kering dan anemia di Makkah dan lelaki berusia 25 tahun di Jeddah yang dimasukkan ke hospital selepas dikesan dengan simptom pernafasan.
Jumlah 18 kes yang disahkan kelmarin adalah peningkatan terbesar dalam sehari dan meningkatkan jumlah kes yang dilaporkan di negara itu kepada 396 sejak kes itu mula dikesan pada September 2012.
Daripada jumlah kes terbaru itu, tujuh dilaporkan di Jeddah, lima di Riyadh, empat di Makkah dan dua di Madinah.
Menurut laporan itu, 13 daripadanya kini berada di hospital awam dan lima lagi dikuarantin di rumah “Kementerian Kesihatan menumpukan usaha mencegah dan merawat MERS serta menawarkan khidmat kesihatan terbaik kepada rakyat,” kata Pemangku Menterinya, Adel Fakeih.
Dia juga menggesa kakitangan perubatan bekerja dalam satu pasukan.
Jumaat lalu, AS mengumumkan ia mengesan kes pertama MERS yang disahkan pada seorang lelaki yang baru-baru ini pulang dari Arab Saudi.
- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/04