“Nampaknya debu Gunung Kelud yang meletus kali ini lebih teruk daripada letusan Gunung Merapi pada 2010,” kata pemandu kami, Supoyo Widji, 55, di sini, semalam.
Ketika itu jam 5.30 pagi dan kami sepatutnya bertolak dari hotel penginapan kira-kira 10 kilometer dari bandar Malioboro menuju ke Gunung Lawu di mana terdapat Candi Ceko dan Sukuh serta Gunung Kelud yang menempatkan Candi Penataran.
Ia sebahagian Program Ekspedisi al-Quran yang disertai penulis bersama Pengasas Kuliah Islamiah Wa Tarbiatul Banat (KITAB) Abd Raof Ismail bertujuan melihat perkaitan Candi Borobudur sebagai warisan peninggalan Nabi Sulaiman.
Bagaimanapun, perancangan itu terbatal apabila Gunung Kelud yang mula memuntahkan debu sejak beberapa minggu lalu meletus kira-kira jam 11 malam kelmarin.
Akibatnya, saluran televisyen tempatan melaporkan sehingga jam 5 petang semalam, kira-kira 100,000 penduduk dari puluhan kampung dalam kawasan 10 kilometer sekitar Gunung Kelud, sudah dipindahkan ke 172 pusat pemindahan.
Supoyo berkata, letusan debu Gunung Kelud disifatkannya lebih teruk berbanding letusan Gunung Merapi lima tahun lalu kerana jarak penglihatan kini lebih terhad iaitu antara lima hingga 10 meter saja.

DEBU tebal menyebabkan jarak penglihatan semakin terhad.
“Jarak antara bandar ini (Jogjakarta) dengan Gunung Kelud sebenarnya agak jauh iaitu mencecah 300 kilometer (KM) tapi jarak dengan Gunung Merapi tak sampai 50km.
“Bagaimanapun, kesan debu kali ini lebih teruk. Saya cuma berdoa semoga kesukaran ini tidak berlarutan sehingga dua ke tiga bulan seperti ketika Merapi meletus dulu,” katanya.
Menurutnya, kehidupan penduduk kini amat terganggu kerana pintu dan tingkap rumah langsung tidak boleh dibuka.
“Saya tidur tengah hari tadi tak sampai 15 minit kerana terbangun apabila muka saya diliputi debu biarpun pintu dan tingkap rumah sudah saya tutup rapat,” katanya ketika datang menjemput penulis di sebelah petang.
Supoyo berkata, sepanjang pengetahuannya kali terakhir Gunung Kelud meletus ialah pada 1921 dan mengorbankan lebih 5,000 penduduk tempatan.
Penuntut universiti, Febrianto Tri Aji, 28, juga sependapat dengan Supoyo mengenai kesan letupan Gunung Kelud yang dianggap lebih teruk berbanding letusan Merapi pada 2010.
Menurutnya, ketika Kelud yang tingginya 1,700 meter dari aras laut meletup kira-kira jam 11 malam kelmarin, debunya meletus hingga hampir tiga kilometer ke udara.
“Saya diberitahu bunyi letupan Kelud kedengaran sehingga ke bandar Solo yang sejauh lebih 200km daripada gunung itu,” katanya.
Media tempatan semalam melaporkan tiga kematian dicatatkan akibat letupan Gunung Kelud, namun Presiden Susilo Bambang Yudoyono dalam ucapan di televisyen jam 5 petang semalam berkata, belum ada kematian dicatatkan.
Sementara itu, tinjauan penulis ke sekitar bandar ini dan Malioboro mendapati keadaan benar-benar berubah apabila debu setebal 1 hingga 2 sentimeter menyeliputi permukaan jalan dan bangunan.
Partikal debu gunung yang turun seperti salji hingga mengganggu pernafasan dan penglihatan menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan semua sekolah dan pejabat ditutup, begitu juga dengan lapangan terbang.
Pemanduan dengan jarak penglihatan yang ada ketikanya terbatas sekadar tiga hingga lima meter satu pengalaman yang luar biasa dan Supoyo hanya memandu pada kelajuan 20 kilometer sejam.
Deretan kedai di bandar Malioboro yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong ditutup dan keadaan jalan raya kurang sesak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15