KUALA LUMPUR 12 Feb. - Bekas pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas majikannya, Yim Pek Ha tidak marah dan tidak menjerit sebelum menyimbah air panas ke paha kanannya dan dia pula hanya berdiri tanpa mengelak perbuatan suri rumah itu.
Nirmala, 29, mendakwa, dia juga tidak melarikan diri, tidak pernah memberitahu apatah lagi menelefon sesiapa untuk mengadu tentang perbuatan majikan wanita yang menderanya.
Dia menceritakan kejadian yang dialaminya kira-kira 10 tahun lalu itu bagi menjawab soalan peguam Chan Vy Sing, yang mewakili Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Ting dalam tuntutan saman yang difailkan oleh wanita yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu.
Jawapan tersebut bagaimanapun disifatkan oleh Vy Sing sebagai suatu cerita yang tidak boleh dipercayai sama sekali.
Peguam itu kemudian meminta Nirmala keluar dari kandang saksi untuk menunjukkan cara-cara Pek Ha dikatakan menyimbah air panas ke arahnya.
Nirmala berkata, jarak dia dengan Pek Ha lebih kurang 1.2 meter sebelum majikannya menyimbah air panas itu ke paha kanannya.
Vy Sing kemudian menunjukkan gambar-gambar kecederaan pada bahagian paha yang menunjukkan kesan luka selari dan memberikan gambaran air panas dicurah dari arah atas dan bukannya disimbah secara berdepan seperti didakwa Nirmala.
Peguam itu juga mencadangkan, sekiranya air panas disimbah secara berdepan dalam keadaan Nirmala lengkap berpakaian, kesan luka akibat kecederaan simbahan tidak mungkin dalam bentuk selari.
Nirmala tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu.
Vy Sing menganggap, keterangan Nirmala antara di Mahkamah Sesyen dengan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi adalah bercanggah antara satu sama lain.
Diajukan pula soalan mengenai payu dara, Vy Sing berkata, Nirmala memang tidak berputing kerana wanita itu pernah menunjukkan payu daranya kepada majikannya ketika mereka berbincang mengenai cara-cara penyusuan bayi.
Sehubungan itu, katanya, Nirmala memang sukar menyusukan anak bukan disebabkan keadaan puting payu daranya selepas kejadian tersebut.
Nirmala yang memberikan keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid, tidak bersetuju dengan kenyataan peguam.
Nirmala memfailkan saman terhadap pasangan terbabit pada 28 Januari 2010 setelah mendakwa Pek Ha mencederakannya manakala Ik Ting pula didakwa gagal menghalang isterinya daripada melakukan perbuatan tersebut selain gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya.
Nirmala yang diwakili peguam M. Kavimani menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya, ganti rugi khas RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain.
Selepas perbicaraan, Mahkamah Sesyen Jenayah pada 27 November 2008, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Pek Ha namun pada 1 Oktober 2012, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman itu kepada 12 tahun.
Pek Ha, yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, hadir di mahkamah dengan memakai baju kurung berwarna jingga diiringi oleh tiga warden penjara dalam keadaan tangannya bergari.
Perbicaraan bersambung esok.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140213/ma_05/Bekas-pembantu-rumah-dakwa-Pek-Ha-simbah-air-panas#ixzz2t9K4eVRi
© Utusan Melayu (M) Bhd