
Suhaini Ibrahim (kanan) dan Fadzilah Mahmad Wi menunjukkan tempat Muhammad Amirul Haikal maut dihempap dinding rumah di Kampung Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam.
TUMPAT 2 Feb. - Kegembiraan seorang nenek untuk masuk ke rumah baharu di Kampung Geting, Pengkalan Kubor di sini kelmarin, bertukar tragedi apabila cucu lelakinya yang berusia enam tahun maut dihempap dinding rumah yang lama.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Muhammad Amirul Haikal Mohd. Nor dikatakan sedang bermain di tapak rumah neneknya yang terbakar tiga tahun lalu sebelum dihempap dinding rumah lama tersebut.
Anak sulung pasangan, Mohd. Nor Mahmad Wi, 37, dan Suhaini Ibrahim, 28, itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tumpat sejurus sahaja selepas kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.
Ekoran tragedi itu, kenduri kesyukuran yang dirancang kerana mendapat rumah bantuan Projek Program Transformasi Luar Bandar sejak dua minggu lalu bertukar menjadi majlis tahlil.
Ibu saudara mangsa, Fadzilah Mahmad Wi, 35, yang datang dari Johor berkata, kejadian berlaku semasa Muhammad Amirul dan lima sepupunya sedang bersembang di kawasan tapak rumah lama dan tiba-tiba dinding setinggi dua meter di tapak rumah yang terbakar itu tumbang lalu menghempap mereka.
"Saya yang berada di muka pintu rumah baharu itu semasa kejadian hanya tergamam apabila melihat dinding batu itu tiba-tiba tumbang lalu menghempap anak saudara saya," katanya.
Tambahnya, dia dan keluarganya tiba pada pagi Khamis lalu untuk menghadiri kenduri kesyukuran kemasukan rumah baharu dan majlis sambutan Maulidur Rasul di rumah ibunya itu.
Sementara itu, Suhaini memberitahu, semasa kejadian, sebahagian ahli keluarga termasuk dia dan nenek mangsa, Halimah @ Fatimah Salleh, 68, berada di dalam rumah setelah selesai membuat persediaan kenduri kesyukuran sempena kemasukan rumah baharu dan Maulidur Rasul manakala suaminya, Mohd. Nor berada di luar rumah berbual bersama jiran.
''Saya yang sedang bermain dengan anak kedua, Muhd. Danish, 3, di dalam rumah terkejut apabila mendengar bunyi yang kuat. Saya segera keluar dari rumah dan melihat suami sedang mengangkat dinding batu yang menghempap anak saya.
"Kami segera membawanya ke Hospital Tumpat, namun dia sudah tidak bernyawa ketika dalam perjalanan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Suhaini memberitahu, anaknya yang merupakan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Geting itu dikebumikan di tanah perkuburan Neting dekat sini pada pukul 1 pagi semalam.
Menurutnya, dia dan suaminya yang bekerja sebagai jurupaip bersama dua anaknya tinggal bersama Halimah iaitu ibu suaminya.
Rumah lama Halimah yang separa batu dan kayu itu telah musnah dalam kebakaran pada Januari 2011 dan melayakkan Halimah menerima bantuan rumah baharu.
Projek rumah baharu tersebut hasil peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan itu dibina sejak 30 Oktober tahun lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharuddin Rasip mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.
''Bedah siasat yang dijalankan ke atas kanak-kanak itu mendapati punca kematiannya kerana pendarahan teruk di bahagian otak," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140203/je_03/Kanak-kanak-maut-dihempap-dinding#ixzz2sCmWiyy4
© Utusan Melayu (M) Bhd