Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my
PENAHANAN seorang lelaki yang mendakwa sebagai pewaris takhta Kesultanan Melaka, Noor Jan Tuah, 56, atau lebih dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah oleh sepasukan polis di jeti Anjung Batu Serkam pagi kelmarin diharap dapat menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak sembilan tahun lalu.
Sudah pasti ramai yang lega dengan penahanan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui apakah benar Noor Jan adalah pewaris Kesultanan Melaka yang lenyap sejak 477 tahun lalu seperti yang didakwanya sejak 2005.
Penahanan Noor Jan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kira-kira pukul 10.50 pagi itu ketika ingin menaiki feri ke Pulau Besar bagi menghadiri majlis kesyukuran dikatakan menyambut Maulidur Rasul, disifatkan ramai pihak sebagai langkah terbaik menyelesaikan kemelut yang berlaku.
Beliau ditahan untuk siasatan lanjut ekoran polis menerima lapan laporan daripada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang mengenai tuntutan lelaki tersebut boleh mencetuskan pelbagai isu-isu lain.
Sebelum ini bukan sahaja rakyat Melaka menjadi keliru malah pakar-pakar sejarah juga turut bingung apabila secara tiba-tiba muncul seorang ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya sebagai Raja Noor Jan Shah Ibni al-Marhum Raja Tuah mendakwa dirinya pewaris Kesultanan Melaka dengan gelaran Sultan Ahmad Shah.
Lebih mengejutkan apabila pada 14 November 2005, beliau bersama dua daripada empat 'permaisurinya' hadir pada Istiadat Penganugerahan Watikah Gelar Adat Kesultanan Melaka Ke-44 yang dihadiri 500 pengikutnya di Dewan Pusat Komuniti Taman Melati, Gombak, Selangor.
Ekoran daripada itu, Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menganggap dakwaan Noor Jan tidak berasas.
Bagaimanapun, Noor Jan bertegas dan mengumumkan akan menuntut hak menduduki takhta Kesultanan Melaka.
Beliau mendakwa telah mengambil masa 17 tahun bagi mengumpul segala bukti termasuk salasilah dan nasab keturunan Sultan Mahmud Shah (1488-1511) bagi mempertahankan dakwaannya sebagai pewaris Kesultanan Melaka.
Kemelut tersebut memaksa Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan hanya mahkamah boleh memutuskan tuntutan Noor Jan itu.
Kata Rais lagi, tuntutan tersebut bukan sekadar dakwaan semata-mata tetapi ia membabitkan undang-undang yang mencabar Perlembagaan Malaysia yang telah menetapkan Melaka sebagai negeri tidak beraja.
Selepas itu, pelbagai kontroversi dicetuskan Noor Jan antaranya apabila beliau mendakwa menyimpan keris Taming Sari yang menjadi milik pahlawan Melayu, laksamana Hang Tuah serta tongkat 'Lang Buana'.
Pada 31 Januari 2006, beliau sekali lagi membuat kejutan apabila mempertontonkan kepada umum bahawa beliau memiliki keris Taming Sari yang dikatakan dinaikkan dari muara Sungai Duyong di Melaka.
Sejak timbulnya perkara tersebut pelbagai pihak mula menjadi keliru mengenai tuntutan yang dibuatnya hingga berlarutan selama sembilan tahun tanpa ada kesudahannya.
Dalam tempoh tersebut pula, Noor Jan secara perlahan-lahan menjalankan aktiviti dipercayai cuba menghasut dan meraih sokongan rakyat di negeri ini agar menerimanya sebagai Sultan Melaka.
Sebenarnya beliau berasal dari Kampung Teluk Perang, Parit, Perak dan menetap di tiga tempat berasingan iaitu di Kampung Seri Kinta, Perak; Batu Caves, Selangor dan Jalan Sungai Pusu, Gombak.
Di samping itu, beliau mempunyai lima nama lain iaitu Noor Jan Shah Tuah Shah, Raja Alang Noor Jan Raja Tuah, Yang Maha Mulia (YMM) Raja Noor Jan Shah Ibni Yang Mulia (YM) Raja Tuah Shah, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Ahmad Shah Ke-44 dan Pak Ungku.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140116/je_02/Penahanan-Noor-Jan-siasat-kemelut-9-tahun#ixzz2qXLMomOO
© Utusan Melayu (M) Bhd