Kereta jenis Myvi milik K Pakian yang tiba-tiba terbakar selepas mangsa menghidupkan enjin
Kereta jenis Myvi milik K Pakian yang tiba-tiba terbakar selepas mangsa menghidupkan enjin
KUANTAN - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi dipandunya musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Kubang Buaya, dekat sini, semalam.

K Pakian, 42, berkata, mujurnya dia menyedari asap berkepul keluar dari bahagian enjin selepas cuba menghidupkan kenderaannya sebaik sahaja enjin mati dengan tiba-tiba ketika bergerak.

Mangsa yang tinggal kira-kira 300 meter dari tempat kejadian itu bersama seorang pembantu rumah berusia 40 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli barang keperluan dapur di bandar ini.

“Sebelum kereta terbakar, saya mengarahkan pembantu rumah membawa keluar semua barang pulang ke rumah kerana mungkin ada sesuatu yang rosak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ketika cuba menghidupkan semula kenderaan itu pembantu rumahnya sempat melihat asap tebal dari bawah bahagian enjin dan terus melambai-lambai tangan sebagai isyarat  sambil menjerit meminta keluar daripada kenderaan.

“Tiga kali saya cuba menghidupkan enjin, malangnya api merebak dengan cepat, Mujur saya dapat menyelamatkan diri dan terus menghubungi bomba,” katanya yang bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

K Pakian mendakwa, akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM26,000.

Sementara itu, Penguasa Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan Yusof Hussin berkata, bomba bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan berjaya mengawal api setengah jam kemudian.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan akan cuba mengenal pasti sehingga siasatan selesai.