Namun takdir menentukan di usia tersebut mereka kehilangan ibu yang disayangi. Lebih menyedihkan wanita itu pula ‘pergi’ ketika hamil empat bulan.
Begitu yang terjadi terhadap seorang wanita yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Bedong di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.20 petang itu, mangsa, Intan Safina Hussin, 26, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan manakala suaminya, Mohd. Azril Azri, 30, dan anak mereka, Nurayuni, 8; Nurayuna, 4; dan Nurul Najwa, 3; cedera parah dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Khai­ril Shamsul Md. Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 1.28 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan kenderaan Skuad Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS).
“Berdasarkan maklumat saksi, kemalangan dipercayai berlaku apabila Mohd. Azril yang memandu kereta Pero­dua Kancil gagal memotong kenderaan di hadapannya lalu bertembung dengan sebuah trak pikap Nissan Navara di laluan bertentangan.
“Sebuah kereta lain di belakang trak berkenaan gagal mengelak kemalangan itu lalu merempuh kedua-dua kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Khairil Shamsul berkata, kesemua mangsa termasuk Intan Safina yang duduk di kerusi penumpang hadapan tersepit dalam kenderaan tersebut.
“Pihak bomba terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa. Mereka kemudian dihantar ke HSAH untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, pemandu trak pikap dan sebuah lagi kereta bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, ketika dihubungi memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam satu kes berasingan, seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis akibat diseret dan digilis sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Sungai Lalang, di sini malam tadi.
Jurucakap polis berkata, mang­sa, Chong Eng Lee, 24, dikatakan baru sahaja pulang berjumpa dengan rakannya di Sungai Lalang sebelum menunggang motosikal menuju ke arah Sungai Petani.
Katanya, bagaimanapun, sebaik sahaja sampai tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 11.50 malam, dia dipercayai dilanggar treler itu dari arah belakang sebelum diseret kira-kira 30 meter.
“Kejadian itu juga menimbulkan ketegangan apabila keluarga dan rakan mangsa yang berang bertindak membaling batu ke arah cermin lori treler terbabit sehingga pecah,” katanya.
Difahamkan, kekecohan berjaya dikawal anggota polis tidak lama selepas itu.