Tok Janggut sedih melihat dua kucing kesayangannya yang rentung dalam kejadian semalam.
Tok Janggut sedih melihat dua kucing kesayangannya yang rentung dalam kejadian semalam.
JALAN KEBUN - Demi menyelamatkan tiga anak jiran yang terkurung dalam rumah yang terbakar, seorang tukang karut dikir barat dikenali dengan panggilan Tok Janggut sanggup membiarkan dua kucing kesayangannya mati rentung dalam kejadian kebakaran pagi semalam.

Tambah menyedihkan lagi, dia sanggup membiarkan wang gaji RM5,500 yang baru diperoleh kelmarin hangus dalam sebuah beg dalam kediamannya yang turut terbakar.

Tok Janggut atau nama sebenarnya Nazri Ahmad, 47, berkata, dia menyedari tiga anak jirannya itu terkurung selepas mereka menjerit minta tolong.

“Bila dengar mereka menjerit, saya terus suruh isteri dan anak umur tiga tahun keluar selamatkan diri. Saya pula gegas selamatkan mereka dengan bantuan jiran depan rumah, Ainah. Kami pecahkan mangga rumah kelima itu dengan tukul dan bawa keluar tiga beradik tu.

Bila saya berpatah balik nak selamatkan barang dalam rumah, semua sudah hangus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Menurutnya, paling menyayat hati apabila dua kucing kesayangan Ara dan Maro yang dibela sejak setahun lalu turut hangus terbakar.

“Saya sedih sangat... si Ara tengah bunting. Kesian Ara..." katanya sebak.

Dia yang menyewa di situ sejak tiga tahun lalu berkata, dari malam kelmarin, dia rasa tidak sedap hati seolah-olah ada sesuatu akan berlaku hingga dia membatalkan niat ke tempat kerja hari ini (semalam).

“Dua kucing saya tu menggelupur banyak kali... tak nak masuk dalam rumah. Banyak kali saya angkat kemudian lari keluar. Hati saya pun rasa lain macam, sampai tak boleh tidur. Rupa-rupanya kejadian ni nak jadi..." katanya sambil memberitahu dirinya turut bersedih kerana semua peralatan dikir barat miliknya turut musnah.

"Alat-alat dikir barat saya semua dah tak ada... rebana pun musnah," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, rumah sewa Tok Janggut bersama 11 rumah papan yang lain di Jalan Kampung Baru Tua, Kampung Jalan Kebun, di sini terbakar menyebabkan 12 keluarga tinggal sehelai sepinggan.

Selain rumah kediaman, sebuah kereta Honda milik salah seorang mangsa turut hangus dijilat api.

Mangsa, Ainah Senin, 61, berkata, ketika kejadian dia sedang mengaji al-Quran di ruang tamu rumahnya.

“Saya nampak asap dan api keluar dari rumah nombor lima yang diduduki tiga kanak-kanak itu. Saya dengar mereka jerit minta tolong. Saya pun terus gegas panggil Tok Janggut yang kebetulan keluar dari rumah supaya lekas selamatkan budak-budak tu.

“Kami sepakat pecahkan kunci mangga. Masa kejadian kebanyakan rumah tiada penghuni... Orang lelaki yang ada hanya Tok Janggut seorang saja... dialah yang kami harapkan. Syukur  tiga beradik tu selamat," katanya sekali gus memberitahu tiga kanak-kanak itu ditinggalkan ibu bapa mereka yang keluar bekerja dengan mengunci pintu dari luar rumah.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, bomba terima panggilan jam 9.30 pagi dan tiba di lokasi kejadian jam 9.44 pagi melibatkan anggota dari Balai Shah Alam dan Andalas. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan masih diteruskan.