Normawati (kanan) bersama kakaknya, Norsamsimah Mohd Nor, 42, (kiri) dan jirannya, Hasmani Md Majid, 63,
selepas membuat laporan polis.
Normawati (kanan) bersama kakaknya, Norsamsimah Mohd Nor, 42, (kiri) dan jirannya, Hasmani Md Majid, 63, selepas membuat laporan polis.
KUALA SELANGOR - “Niat nak tambah duit, tapi tak sangka pula jadi mangsa tipu sampai hilang barang kemas, duit dan telefon bimbit,” demikian kata seorang mangsa pukau, Normawati Mohd Nor, 37, kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, dia didatangi dua wanita yang tidak dikenali berusia 20 hingga 50-an yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih kira-kira jam 2 petang di rumahnya di Taman Kasawari, Bukit Rotan pada Jumaat lalu.

“Masa itu saya baru saja balik kerja dan berehat di sofa sebelum dengar orang bagi salam. Saya jenguk dan nampak seorang perempuan berambut panjang berusia 20-an dan seorang lagi perempuan berambut pendek dan berbadan gempal berusia dalam 50-an.

"Mereka beritahu saya nak cari orang untuk ambil upah kopek ikan bilis. Saya dengar jadi minat sebab mereka beritahu upah RM12 untuk satu kilo," katanya.

Normawati berkata, ketika itu dia tidak berprasangka buruk kerana kedua-dua wanita berkenaan kelihatan seperti orang baik-baik.

"Dia nak enam orang untuk kerja dan saya pun panggil kakak di rumahnya dan jiran untuk kerja sama-sama sebab boleh buat kerja dari rumah saja.

Boleh tambah duit belanja dapur. Kami pun bincang sebelum terus dibawa ke hospital, katanya untuk ujian darah,” katanya.

Tambah Normawati, ketika itu walaupun berasa berat hati tetapi dia, kakaknya dan seorang jiran menurut semua kata-kata wanita itu tanpa membantah sehingga dibawa ke Tanjong Karang.

“Memang hati berat nak ikut tapi saya macam kena pukau. Tak boleh nak tolak apa yang perempuan itu cakap sampaikan kami ikut saja sampai ke hospital.

“Bila perempuan itu parkir di bulatan depan hospital dan ulang alik ke kaunter untuk cari borang, kami yang duduk di dalam kereta cuma tunggu saja sebelum saya dan kakak dibawa ke tempat untuk pemeriksaan x-ray.

“Tapi bila perempuan itu minta buka barang kemas yang dipakai dan simpan semua duit dan telefon bimbit dalam beg, kami ikut saja dan tinggalkan dalam kereta memandangkan ada jiran masih dalam kereta," katanya.

Katanya, tiba di suatu tempat, wanita berkenaan memberitahu dia mahu mengisi borang dan minta kami tunggu tetapi tidak sampai 10 minit, jiran yang duduk dalam kereta datang ke arah kami dengan muka cemas dan panik.

“Dia kata kereta sudah tiada dan masa itu saya hanya ingat barang kemas dan duit dalam beg. Jiran cakap dia dibawa perempuan itu ke tandas sebab kononnya kena bersihkan diri dulu tapi bila dia keluar, dua perempuan itu hilang bersama kereta.

“Masa itu barulah tersedar dan masing-masing tergamam. Kami bertiga cepat-cepat cari kat parkir dan tanya pengawal tapi mereka cakap tak nampak. Kami pun terus berjalan kaki hampir 10 minit ke bank berhampiran untuk blok kad bank.

“Memang kami tiada duit langsung dan nak telefon keluarga pun minta tolong dengan kerani bank sebelum kami dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang untuk laporan polis sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk memberi kenyataan kes.

“Tak sangka jadi begini sebab niat nak cari duit lebih. Kakak dengan jiran lagi sedih sebab mereka ibu tunggal. Kalau boleh janganlah jadi kat orang lain dan minta mereka hati-hati dan jangan jadi mangsa selepas ini.

“Kalau ada orang datang nak cari orang upah kopek ikan bilis yang datang dari Sungai Buloh, Kepong, janganlah percaya sangat dan berhati-hatilah sebab takut apa yang berlaku pada kami berulang,” katanya.