Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menyambung perintah reman terhadap lima suspek selama tiga hari manakala empat suspek lagi direman dua hari, masing-masing sehingga 17 dan 18 Disember ini.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin dan mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Kesemua suspek yang berumur antara 19 dan 29 tahun tiba di Mahkamah Majistret di sini pada kira-kira pukul 11 pagi sebelum beredar beberapa jam kemudian.
Kesemua suspek sebelum ini ditahan reman sejak 12 Disember lalu.
Selasa lalu, polis menyebarkan 15 gambar individu yang dikehendaki untuk tampil memberi keterangan bagi membantu mengesan suspek-suspek yang mengasari atau memukul penyokong pasukan Vietnam pada Ahad lalu.
Berikutan itu, lima individu telah tampil ke balai polis dengan empat daripadanya berbuat demikian di sekitar Lembah Klang manakala seorang lagi di Johor, diikuti dengan dua lagi individu pada minggu lalu.