Search This Blog

Sunday, December 7, 2014

Sudah sedia hadapi Hagupit

Seorang penduduk memikul barangan miliknya menuju ke tempat lebih selamat di Tacloban, semalam


Tacloban (Filipina): Jutaan penduduk berpindah mencari tempat selamat termasuk gereja, sekolah dan pusat pemindahan lain sebagai persediaan menghadapi taufan besar Hagupit di negara yang beberapa kali dilanda bencana sejak hujung tahun lalu.
Ribut itu - dijangka yang paling teruk melanda gugusan kepulauan berkenaan tahun ini dibimbangi memberi kesan terhadap lebih separuh rakyat negara itu termasuk mereka yang menjadi mangsa taufan Haiyan, tahun lalu.
Menurut pihak berkuasa, lebih 500,000 keluarga atau 2.5 juta orang di timur Filipina dipindahkan sebagai persediaan menghadapi Hagupit yang dijangka melanda malam ini atau esok.
Penduduk, Rita Villadolid, 39, antara yang dipindahkan bersama keluarganya ke sebuah stadium sukan di Tacloban, walaupun masih belum pulih daripada taufan Haiyan tahun lalu.
Penduduk turut membanjiri gereja dan sekolah dengan hanya membawa pakaian masing-masing.
Agensi kaji cuaca Pagasa berkata, Hagupit dijangka menjadi ribut paling kuat membadai Filipina tahun ini selain dibimbangi mengakibatkan ombak besar di kebanyakan kawasan pesisiran pantai.
Sebanyak 55 daripada 85 wilayah Filipina dikhuatiri terjejas.
Sementara itu, pengarah keselamatan awam daerah Bicol Bernardo Alejandro berkata, kerajaan menyasarkan untuk memindahkan 500,000 keluarga - separuh daripada populasinya.
“Kami sudah mengerahkan trak tentera dan kerajaan tempatan untuk membawa orang ramai ke tempat selamat,” katanya.
Pusat Amaran Taufan Tentera Laut Amerika Syarikat memberi amaran, Manila - yang mempunyai 12 juta penduduk - turut berkemungkinan dibadai Hagupit.
Pagasa bagaimanapun berpendapat, ibu negara Filipina itu mungkin terselamat kerana tidak berada di laluan ribut berkenaan.
Bagaimanapun, semua pegawai kanan Manila mengadakan mesyuarat tergempar sebagai langkah berjaga-jaga dan persediaan untuk menghadapi bencana yang akan dibawa Hagupit.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14171#sthash.3R3uPI0H.dpuf

No comments:

Post a Comment