Stanley Thai
Selain kedua-dua tertuduh, kakak ipar Stanley, Tan Bee Hong, 54, turut didakwa atas tuduhan melupuskan 350,000 unit saham APLI pada tahun yang sama.
Stanley atau Thai Kim Sim, 54, yang juga Pengarah Urusan Kumpulan syarikat Supermax Corporation Bhd. manakala isterinya, Datin Seri Cheryl Tan Bee Geok, 53, Pengarah Kumpulan syarikat sama dana Bee Hong merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan syarikat Maxtex Gloves Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Supermax Corporation Bhd., mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di mahkamah berasingan.
Berdasarkan pertuduhan, Stanley yang ketika kejadian merupakan CEO APLI didakwa sebagai orang dalam telah menyampaikan maklumat berkenaan yang mempunyai kesan terhadap harga atau nilai saham APLI kepada wakil pemegang lesen syarikat jual beli saham, Tiong Kiong Choon, iaitu individu yang berkecenderungan melupuskan sekuriti APLI yang perdagangannya dibenarkan di pasaran saham Bursa Malaysia Sekuriti Berhad.
Stanley yang tersenarai antara 50 individu terkaya di negara ini didakwa melakukan perbuatan itu antara 26 Oktober 2007 dan 29 Oktober 2007.
Sementara itu di mahkamah berasingan, Cheryl yang ketika kejadian merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan APLI didakwa menyampaikan maklumat sama kepada Bee Hong antara 23 Oktober 2007 dan 31 Oktober 2007.
Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), T. Chelvakumar yang mengendalikan pendakwaan terhadap suami isteri itu mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 188(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta.
Chelvakumar mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.
Walau bagaimanapun peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon agar ikat jamin terhadap Stanley dikurangkan kepada RM300,000 dan pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana tertuduh perlu menghadiri urusan perniagaan ke beberapa negara dalam masa terdekat.
Hakim Abdul Rashid Daud kemudian membenarkan Stanley diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan pada mahkamah pada 3 Februari 2015 manakala Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Cheryl diikat jamin RM250,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Januari tahun depan untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut.
Sementara itu, Bee Hong yang ketika kejadian merupakan Pengurus Kanan APLI didakwa melupuskan saham-saham tersebut yang dipegang dalam akaun Sistem Depositori Pusat yang tidak boleh didapati secara umum di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini pada 31 Oktober 2007.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen 188(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta jika sabit kesalahan.
Chelvakumar menawarkan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah namun peguam Harvinder Jit Singh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin kepada RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport tidak diserahkan kepada mahkamah.
Mat Ghani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah manakala sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh yang sama dengan kes terhadap pasangan suami isteri itu.