Search This Blog

Thursday, December 11, 2014

Sabung nyawa redah ombak



TigA daripada mangsa, (dari kiri) Awang Khairudin, Webster Abong dan Hansen Chuat selamat tiba di Jeti APMM di Muara Tebas, Kuching semalam.


KUCHING – Berpantang maut sebelum ajal. Demikian peri­bahasa dipegang empat anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang mengerah kudrat dengan berenang sejauh satu kilometer untuk menyelamatkan diri selepas bot mereka karam akibat dipukul ombak di Pulau Batu Mandi, Tanjung Po dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, Awang Khairudin Awang Buan, 49; Cosleycan Ahon, 40; Webster Abong Larry Basok, 30, dan Hansen Chuat Unggam, 27, terpaksa menyabung nyawa dengan berenang meredah ombak besar setinggi dua meter ke tepi pantai pulau berkenaan.
Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Kuching, Komander Maritim Hariani Mahmod berkata, kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas melakukan pemeriksaan rutin kira-kira lima batu nautika dari Muara Tebas dekat sini.
“Mangsa bertindak terjun ke dalam laut selepas mendapati bot yang mereka naiki hampir terbalik dan mereka berenang ke tepi pantai untuk menyelamatkan diri.
“Sebaik sampai ke tepi pantai di pulau berkenaan pada pukul 5 petang, mangsa segera menghubungi pihak Maritim Malaysia (APMM) untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Hariani berkata, semua ma­ngsa yang dibawa pulang menaiki bot peronda APMM ke jeti APMM di Muara Tebas di sini dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Awang Khai­rudin bersyukur kerana jaket keselamatan yang dipakai semasa turun ke laut membantu mereka berenang dan selamat sampai ke tepi pantai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3LXy4b8sW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment