Search This Blog

Monday, December 29, 2014

Ribuan terkandas di Alps

Paris: Salji lebat yang melanda kawasan Alps Perancis menyebabkan 15,000 pemandu terkandas semalaman dengan ramai terpaksa tidur di dalam kenderaan masing-masing.
Ia turut memaksa pihak berkuasa bergegas mendirikan tempat perlindungan sementara.
Salji melanda ketika pengunjung resort ski di wilayah Savoie dalam perjalanan pergi dan pulang dari kawasan peranginan itu, menyebabkan pihak berkuasa mendirikan tempat perlindungan sementara di sekurang-kurangnya 12 bandar.
Seorang lelaki berusia 27 tahun juga maut apabila jalan yang licin menyebabkan kereta dipandunya terbabas lalu jatuh ke dalam gaung di pergunungan Belledonne.
Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri Perancis Bernard Cazeneuve menggesa pemandu supaya berhati-hati selain meminta orang ramai menangguhkan perjalanan mereka buat sementara waktu.
Pihak berkuasa negara itu mengeluarkan amaran cuaca tahap jingga - hanya satu tahap di bawah tahap maksimum - di 19 bandar.
Seorang pemandu yang terkandas di dalam keretanya bersama empat penumpang di lebuh raya di Alps, Kevin Clavel berkata, dia terpaksa mengharungi masa sehingga 10 jam untuk perjalanan sejauh 130 kilometer.
Jabatan kaji cuaca Perancis menjangka lebih banyak salji melanda negara itu selain suhu semakin rendah pada sebelah malam, seterusnya membuatkan keadaan jalan lebih licin dan bahaya.
Sementara itu, di kawasan lain Perancis, angin kencang menjejaskan percutian hujung tahun.
Ribut dengan kelajuan angin sehingga 160 kilometer sejam mengakibatkan pelabuhan Calais di Selat Inggeris terpaksa ditutup selain turut menyebabkan perkhidmatan feri kereta ke Britain digantung.
Beberapa kilometer dari bandar perindustrian itu, ribuan pendatang asing tanpa izin berlindung di dalam khemah sementara untuk malam kedua dalam keadaan cuaca di bawah paras beku.
Pengarah Solid’R David Lacour, pertubuhan yang membantu pendatang terbabit menangani kesejukan cuaca berkata: “Keadaan amat teruk. Banyak khemah diterbangkan ribut. Ada pendatang yang kini tinggal sehelai sepinggang.”
Sebuah gudang yang pernah digunakan untuk menyimpan bunga kini digunakan oleh pendatang untuk berlindung.
Tilam-tilam memenuhi lantai bangunan itu manakala pendatang dilihat bermain terup, tidur dan tidak ketinggalan juga yang mengeringkan pakaian masing-masing selepas berjalan lebih sejam untuk sampai di situ.
Sehingga 2,300 pendatang dipercayai berada di Calais dan kawasan sekitarnya. Semuanya memilih tinggal di dalam khemah sementara menunggu peluang meneruskan perjalanan ke Britain.
Seorang daripadanya, Eritrean Petrus, 23, berkata: “Kami mempunyai tempat perlindungan di sini dan ramai yang menghulurkan bantuan. Bukan mudah hidup di luar sana.”
Taman terkenal di istana Versailles berhampiran Paris juga terpaksa ditutup akibat angin kencang.
Salji lebat turut mengakibatkan masalah di Britain apabila lebih 100,000 kediaman terputus bekalan elektrik sementara beberapa penerbangan terpaksa ditangguh.
Salji direkodkan paling banyak di Leek iaitu 11 sentimeter. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:11 AM


KESESAKAN di jalan raya berhampiran bandar Albertville di Alps Perancis akibat salji lebat yang melanda kawasan berkenaan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/19770#sthash.Vgm4AzsM.dpuf

No comments:

Post a Comment