Search This Blog

Monday, December 1, 2014

Rahsia di balik dinding ayah

Remaja berusia 13 tahun disatukan semula dengan ibunya. 
Rumah yang menjadi tempat remaja dikurung selama 4 tahun. 

Florida: Sejak ‘hilang’ empat tahun lalu, tiada sesiapa menyangka seorang remaja sebenarnya hidup terkurung di dalam ruang sempit di sebalik dinding palsu pada almari kain di rumah ayahnya.

Remaja yang namanya dirahsiakan itu diselamatkan selepas berjaya memuat turun aplikasi telefon bimbit dan menghantar pesanan kepada ibunya di Florida.

Melalui pesanan itu, remaja berusia 13 tahun berkenaan memaklumkan dia dikurung dan didera di rumah ayahnya sendiri di daerah Clayton, Georgia.

Polis yang dihubungi kemudian menyiasat rumah terbabit sebelum menemui mangsa disorokkan di bilik khas di dalam garaj bangunan itu.

Sumber berkata, mangsa begitu bersyukur diselamatkan dan berulang kali mengucapkan terima kasih kepada polis.

Ketika dia dipertemukan dengan ibunya, detik itu ternyata amat menyayat hati apabila remaja terbabit dilihat enggan melepaskan pelu ke atas wanita berkenaan.

Pada masa sama, lima penghuni rumah itu - ayah mangsa, ibu tirinya dan tiga juvana - ditahan dan didakwa atas tuduhan mengurung secara salah, menutup perbuatan jenayah dan penderaan.

Kehilangan remaja itu diadukan ibunya kepada pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak pada 2010.

Ketika itu budak terbabit melawat bapanya dan tidak dibenarkan pulang ke rumah ibunya.

Bagaimanapun, ibunya tidak pernah menghubungi polis kerana dia pendatang asing dan tidak memahami undang-undang dengan jelas.

Namun, sebaik mendapat pesanan ringkas anaknya itu dia terus menelefon talian kecemasan 911.

Polis membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan pada jam 2 pagi semalam dan menyoal penghuninya sebelum mencari dan menemui mangsa.

Keadaan kesihatan remaja itu tidak diketahui.

Jurucakap Polis Daerah Clayton, Sarjan Joanne Southerland berkata, apabila tiba di rumah itu, penghuninya menafikan mangsa berada di situ.

“Selepas beberapa minit menafikan mereka melakukan sebarang kesalahan termasuk mendera mangsa, kami berjaya menemuinya di dalam almari kain itu,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:07 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13185#sthash.MQCyhw5P.dpuf

No comments:

Post a Comment