Search This Blog

Monday, December 1, 2014

Polis buru ‘Jack’ si pemandu kereta sapu


Keningau: Polis sedang memburu seorang pemandu kereta sapu dikenali dengan nama ‘Jack’ yang dipercayai terbabit dalam kes rompakan tiga gadis pada 18 November lalu di Kilometer 12 Jalan Tenom-Keningau Jalan Meninipir Lama, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Douglas Taong berkata, suspek berusia lingkungan 20 tahun itu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan tiga gadis dan usaha mengesan sedang giat dilakukan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang, 18 November lalu, tiga gadis termasuk dua beradik berusia 20 hingga 30 tahun dirompak dua penjenayah bertopeng ketika dalam perjalanan ke rumah dengan menaiki kereta sapu dipandu oleh ‘Jack’.
“Jack mendakwa tayar kereta tidak stabil dan berhenti di tepi jalan sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda muncul. Dua lelaki bertopeng kemudian mengarahkan mangsa keluar dari kereta.
“Suspek mengacukan pisau di leher dua mangsa sambil mengarahkan mereka menyerahkan barang berharga. Mangsa terpaksa menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit kepada suspek,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan, polis berjaya memberkas tiga lelaki berusia lingkungan 20 tahun di rumah tidak bernombor di sebuah kampung di daerah ini pada 25 November lalu.
“Polis turut rampas sebuah Perodua Kenari warna merah, topi keledar, dua dompet mengandungi pelbagai jenis kad pengenalan serta dua telefon bimbit.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama seminggu bermula pada 26 November lalu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:11 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13217#sthash.2O4mEGzH.dpuf

No comments:

Post a Comment