Search This Blog

Monday, December 29, 2014

Pesawat AirAsia belum ditemui



GAMBAR fail 9 Mei lalu menunjukkan sebuah pesawat AirAsia A320-200 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang. - AGENSI


JAKARTA – Pasukan penyelamat meronda di Laut Jawa semalam bagi mencari pesawat AirAsia Indonesia yang hilang dalam cuaca buruk semasa terbang dari Indonesia menuju ke Singapura sekali gus meningkatkan lagi bilangan krisis aviasi di Asia Tenggara pada tahun ini.
Namun, menjelang senja sekitar 11 jam selepas ia hilang, pesawat-pesawat tentera Indonesia masih belum menemui sebarang kesan pesawat jenis Airbus A320-200 tersebut.
"Operasi mencari ditangguhkan pada pukul 5.30 petang tetapi akan disambung semula pada pukul 7.30 pagi hari ini atau lebih awal jika cuaca baik," kata seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Indonesia, Hadi Mustofa.
Unit kawalan udara terputus hubungan dengan pesawat enjin berkembar itu sekitar sejam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surabaya di Jawa Timur pukul 5.20 pagi (waktu Indonesia).
Sejurus sebelum hilang, AirAsia menyatakan juruterbang Penerbangan QZ8501 itu meminta kebenaran daripada menara kawalan di Jakarta untuk melencongkan laluan dan mendaki lebih tinggi bagi melepasi ribut petir di kawasan berkenaan.
Menurut AirAsia, pesawat hilang itu kali terakhir diselenggarakan pada 16 November lalu. Syarikat AirAsia tidak pernah mengalami kemalangan maut sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Indonesia menyatakan, juruterbang berkenaan meminta untuk mendaki sehingga 1,828 meter pada ketinggian 11,582 meter bagi mengelakkan awam berat.
"Pesawat itu berada dalam keadaan baik tetapi cuaca tidak begitu baik," kata pegawai berkenaan, Djoko Murjatmodjo dalam satu sidang media di Jakarta.
Menurutnya, mendaki bagi mengelakkan awam hujan merupakan prosedur standard dalam keadaan cuaca buruk.
"Apa berlaku selepas itu menjadi tanda tanya," kata penganalisis penerbangan Indonesia, Sudibyo.
Dalam pada itu, sebanyak dua pesawat tentera udara Indonesia dan sebuah helikopter melakukan usaha mencari di perairan sekitar Pulau Bangka dan Pulau Belitung di Laut Jawa.
"Kami telah menumpukan segala kekuatan kami daripada agensi mencari dan menyelamat, tentera serta polis di samping bantuan daripada nelayan," kata ketua agensi menyelamat, F.H.B. Soelistyo pada satu sidang akhbar.
Menurutnya, sebanyak tiga buah kapal dan tiga pesawat dari Malaysia akan menyertai usaha mencari Penerbangan QZ8501 hari ini. Terdahulu, pemerintah Singapura menawarkan sebuah pesawat C130 manakala kerajaan Australia turut menawarkan bantuan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1229&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3NF3FK4go 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment