Search This Blog

Monday, December 8, 2014

Pesara polis maut kemalangan


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Disember 2014


SEREMBAN - Seorang pesara polis maut dalam keadaan mengerikan apabila motosikal ditungganginya bergesel sebuah treler di Jalan Persiaran S2 A3, berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tun Shing, Seremban 2, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa, Masri Mansor, 58, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo S, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mantau Indah dari Seremban 2 itu difahamkan bergesel dengan treler yang membawa muatan simen, sebelum terjatuh dan digilis.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa bergesel dengan treler itu dan kemudiannya terjatuh ke tengah jalan.

“Akibat itu, kepala dan badan mangsa dilenyek treler berkenaan, disebabkan pemandu tersebut tidak sempat mengelak.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 55 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ditahan untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

No comments:

Post a Comment