Akhbar Daily Mail melaporkan insiden kedua-dua wanita itu bertengkar menggemparkan penumpang dan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Thailand, kelmarin.
Ekoran insiden itu, beberapa pengguna di lapangan terbang tersebut sempat merakamkan video dan gambar pergaduhan itu menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Menurut seorang saksi, ketika penumpang beratur di sebuah kaunter pengesahan syarikat penerbangan tambang murah, Lion Air Thailand, seorang penumpang warga Thailand naik berang apabila seorang penumpang wanita warga China bertindak memotong barisan.
Bangkok Post melaporkan, pelancong dari China dan wanita Thailand itu mula bertengkar dan tercetus pergelutan kecil sebelum dileraikan oleh beberapa orang penumpang lelaki yang turut berbaris.
Namun kedua-dua wanita itu didapati terus menjerit ke arah satu sama lain.
Kejadian di lapangan terbang itu merupakan beberapa insiden pertengkaran dan gangguan yang membabitkan penumpang warga China pada bulan ini.
Sebelum ini seorang penumpang wanita warga China yang kecewa kerana dia tidak dapat duduk disebelah teman lelakinya di dalam pesawat bertindak membaling secawan air panas dan mi ke muka seorang pramugari syarikat penerbangan AirAsia Thailand.
Susulan itu, teman lelaki wanita tersebut melompat keluar dari kerusinya dan mengugut untuk meletupkan pesawat berkenaan yang dalam perjalanan ke Nanjing, sebelum pesawat itu dipaksa perpatah balik dan melakukan pendaratan cemas.
Ekoran insiden itu, menyebabkan pelancong China dikecam oleh media tempatan di China yang menggelar mereka sebagai tidak bertamadun dan kerajaan China berjanji akan mengenakan hukuman berat kepada pasangan tersebut dan dua teman mereka.
Dalam satu kenyataan pedas yang dikeluarkan Jabatan Pentadbiran Kebangsaan Pelancongan menyatakan kejadian pelancong China mengganggu penerbangan dan mencederakan penumpang telah ‘secara teruk merosakkan imej keseluruhan orang China.’