Search This Blog

Thursday, December 11, 2014

Misi bantuan Hagupit sukar



REUTERS - PEMANDANGAN dari udara menunjukkan sebuah kampug di Dolores, Samar Timur, Filipina rosak teruk kelmarin selepas dibadai Taufan Hagupit.


MANILA – Pasukan penyelamat Filipina sukar untuk sampai kepada penduduk di beberapa tanah tinggi di Pulau Samar, timur negara ini yang paling teruk terjejas akibat Taufan Hagupit.
Mereka juga berdepan ancaman keselamatan kerana rantau berkenaan menjadi kubu pemberontak komunis Maoist.
Typhoon Hagupit memusnahkan hampir 16,500 buah rumah dan merosakkan lebih 33,100 kediaman lain di Samar sebelum bergerak ke seluruh Filipina. Taufan itu semakin perlahan dan dikategorikan sebagai ribut tropika sebelum menuju ke selatan Vietnam semalam.
Agensi Pengurusan Bencana Filipina memberitahu, sebanyak sembilan orang terkorban semasa Hagupit membadai kepulauan tengah Filipina dan selatan pulau utama, Luzon.
Setakat ini, Palang Merah telah mengesahkan 22 kematian manakala pertubuhan sama dan Kementerian Kesihatan masih menyiasat laporan bahawa bencana tersebut meragut sebanyak 40 nyawa.
“Kami cuba untuk sampai ke beberapa buah perkampungan yang di kawasan tanah tinggi tetapi sukar kerana dihalang oleh tanah runtuh dan pokok tumbang,” kata Ketua Palang Merah Filipina, Richard Gordon.
Menurut Gordon, pihaknya telah menyewa sebuah helikopter awam untuk meninjau kawasan berkenaan dan mencari tempat pendaratan sesuai tetapi beberapa pegawai memberitahu, mereka bimbang peralatan komunikasi mereka mungkin dicuri oleh pemberontak Mao.
Kumpulan komunis itu berperang dengan pemerintah Filipina sejak 45 tahun dulu. Mereka bergerak aktif di kawasan pedalaman berpenduduk miskin seperti di Samar dan tinggal dalam kubu bawah tanah serta pondok diperbuat daripada jerami.
Mengulas isu keselamatan tersebut, jurucakap tentera, Kolonel Restituto Padilla bagaimanapun berkata, ancaman daripada kumpulan Mao adalah minimum.
“Gerila Mao tidak melakukan penculikan seperti kumpulan Abu Sayyaf yang aktif di selatan Filipina,” kata Padilla.
“Kami sedar tentang risiko keselamatan. Justeru, kami mengiringi petugas-petugas yang terlibat dalam kerja kemanusiaan ini. Kami tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku kepada mereka,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Pengurusan Bencana menyatakan, lebih dua juta penduduk terjejas akibat Hagupit manakala sekitar 1.7 juta orang telah berpindah ke pusat-pusat perlindungan.
Terahulu, Kementerian Pertanian menganggarkan kemusnahan tanaman terutamanya padi dianggarkan mencecah AS$29.18 juta (RM100.55 juta) merangkumi 56,000 tan metrik padi, jagung dan tanaman lain. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3LXv0swLL 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment