Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, mayat terbabit ditemui oleh orang awam di kawasan berkenaan yang kemudian memaklumkan kepada pihaknya kira-kira pukul 3.20 petang.
Mayat tanpa identiti itu katanya, ditemui berhampiran Sungai Klang dan Stesen Janakuasa Elektrik Bukit Badak.
“Mengikut penilaian awal, kita percaya mayat mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan ke lokasi berkenaan berdasarkan kesan-kesan yang ditemui tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Tambah Kamarulzaman, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dibedah siasat bagi mencari punca sebenar kematian.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.