Search This Blog

Monday, December 1, 2014

Mayat kedua mangsa lemas ditemui


Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz.
.

Pekan: Mayat kedua mangsa bot karam di Sungai Pahang berhampiran Kampung Pulau Jawa, Pekan ditemui jam 10.20 malam tadi.

Mayat Azizul Md Ali, 28, ditemui kira-kira 350 meter dari lokasi bot gentian kaca yang dinaiki bersama dua rakan karam petang semalam.

Penguasa Kanan Bomba Zon 1 Kuantan Ramli Yusof berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat yang melakukan operasi mengesan mangsa sejak jam 7 pagi tadi.

"Kita menggunakan khidmat anjing pengesan untuk mengesan mangsa selain mendapat bantuan dari Jabatan Pertahanan Awam, polis dan juga penduduk kampung.

"Kita menghentikan operasi serta merta selepas mayat mangsa kedua ini ditemui," katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang semalam, Azizul bersama Said Harun, 31, dan Zuhair Sulong, 42, menaiki bot sepanjang dua meter itu untuk ke Pulau Che Abbas kira-kira 100 meter dari jeti Kampung Pulau Jawa, di sini, untuk mengambil kelapa.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, bot mereka bocor dan tenggelam namun Said berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

Manakala Azizul dan Zuhair yang dikatakan tidak pandai berenang lemas.

Mayat Zuhair yang juga bapa saudara Said ditemui jam 9.50 pagi tadi kira-kira 300 meter dari lokasi bot mereka dilaporkan tenggelam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 12:09 AM

No comments:

Post a Comment