SEREMBAN 15 Dis. - Jumlah kerugian akibat kes penipuan gores dan menang di negeri ini meningkat kepada RM3.3 juta sejak Januari tahun ini hingga September lalu berbanding RM2.5 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
Ketua Unit Jualan Langsung, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd. Khairuddin Osman berkata, jumlah mangsa juga meningkat kepada 271 orang berbanding 144 mangsa untuk tempoh yang sama.
Menurutnya, jumlah mangsa meningkat akibat sikap tamak dalam diri dan kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penipuan skim gores dan menang.
“Ada mangsa yang sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 atau RM20,000 bagi mendapatkan hadiah lumayan selepas didatangi ejen-ejen gores dan menang dan terpedaya dengan penipuan yang begitu licik.
“Taktik dan modus operandi mereka pula menyasarkan individu yang diketahui mempunyai wang dan dalam kalangan warga emas,” katanya kepada pemberita selepas Forum Crime Awarness Day peringkat Kontinjen Negeri Sembilan anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Terminal One, dekat sini semalam.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza.
No comments:
Post a Comment