SEORANG jururawat yang bertugas di hospital Umberto I di Lugo, Itali ditahan bulan lalu selepas didakwa menyebabkan 38 kematian pesakit secara misteri ketika mereka berada di bawah jagaannya.

Siasatan lanjut pihak polis terhadap Daniela Poggiali, 42, mendapati, sebanyak 38 daripada 68 pesakit di bawah jagaannya dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh tiga bulan.

Dalam beberapa keping gambar yang diambil rakan sekerjanya, Poggiali dilihat gembira bergambar bersama mayat pesakit sambil menunjukkan isyarat bagus.

Difahamkan, polis dihubungi selepas pesakit Rosa Calderoni, 78, yang dimasukkan ke hospital tempat Poggiali bekerja kerana sakit biasa meninggal dunia dipercayai akibat disuntik dengan potasium berlebihan.

Ketua pendakwa yang menyiasat kes tersebut, Alessandro Mancini berkata, pihaknya percaya Poggiali mengalami gangguan mental dan menemui keseronokan serta kepuasan sebenar ketika melakukan pembunuhan.

Kini, sementara menunggu perbicaraan di sebuah penjara di Forli, Poggiali dikatakan mempunyai peminat lelaki yang ramai dan sering menerima surat. Malah, ada juga di antara peminatnya yang mengajaknya berkahwin.

Poggiali bagaimanapun menafikan membunuh mana-mana pesakit dan menganggap dia menjadi mangsa oleh rakan sekerja yang iri hati dengannya. – Mirror