Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas diteruskan di Sungai Pergau, dekat Kampung Timur, Jeli, semalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas diteruskan di Sungai Pergau, dekat Kampung Timur, Jeli, semalam.
JELI - Kegembiraan empat bersaudara termasuk tiga beradik mandi di Sungai Pergau, dekat Kampung Timur, di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, mangsa, Siti Nor Syamillah Abd Aziz dihanyutkan arus deras ketika mandi di sungai itu bersama kakaknya, Siti Nor Salmi, 22, adiknya, Siti Nor Syahirah, 14 dan sepupu mereka, Aini Sahira Zaki, 16.

Kejadian dikatakan berlaku apabila air dari Empangan Pergau, dekat sini, dilepaskan dan menyebabkan paras air sungai itu naik mendadak serta bertukar menjadi deras.

Menurut Siti Nor Salmi, sebelum kejadian, mereka berempat turun ke sungai itu untuk mandi dengan dia berada di hadapan, manakala tiga lagi di belakangnya.

“Tiba-tiba air sungai naik dan deras. Bila saya berpaling, mereka bertiga sedang terkapai-kapai, saya cuba selamatkan mereka tetapi hanya dapat capai tangan Siti Nor Syahirah dan Aini Sahira.

“Masa dia hanyut, saya nampak Siti Nor Syamillah cuba berpaut di dahan pokok tetapi gagal sebelum tenggelam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Siti Nor Salmi kemudian memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya sebelum laporan polis dibuat pada jam 2.30 petang.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa, semalam, diteruskan pelbagai agensi termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zulkifli Husin dan disertai anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan penduduk.

Operasi yang memasuki hari kedua, semalam, turut mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan mangsa.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.