Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki motosikal berasingan telah berhenti di hadapan pasar berkenaan.
Kedua-dua mereka bertindak gila dengan melepaskan dua das tembakan ke udara sejurus masuk ke kawasan pasar tersebut dan menyamun kesemua mangsa yang berumur antara 19 hingga 56 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, ketika kejadian peniaga di pasar borong itu baru memulakan perniagaan dan tiba-tiba didatangi dua lelaki berkenaan yang lengkap memakai jaket dan topi keledar bertutup penuh.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya itu kemudian menyamun tujuh individu terdiri daripada peniaga dan pelanggan di pasar berkenaan selain melarikan wang tunai sebanyak kira-kira RM5,000.
“Selain wang, suspek turut menyamun beberapa barangan berharga mangsa termasuk enam telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini kelmarin.
Menurut Shaikh Abdul Adzis, sejurus menyamun kesemua mangsa, kedua-dua suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal namun tiada sebarang kecederaan membabitkan mangsa dilaporkan.
Ujarnya, ekoran kejadian itu, polis kini menjalankan siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata selain menjejak suspek.
Bagaimanapun kata beliau, kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di pasar borong berkenaan didapati rosak.
“Setakat ini polis masih menyiasat senjata yang digunakan suspek berikutan hasil siasatan awal di lokasi tidak menemui sebarang bukti fizikal atau kelongsong peluru yang boleh dikaitkan dengan kejadian tembakan di kawasan pasar borong berkenaan,” jelas beliau.
Sementara itu, salah seorang mangsa berumur 32 tahun yang enggan dikenali berkata, dia yang ketika itu berada di kedainya sedang memulakan perniagaan di bahagian menjual ikan sebelum dikejutkan dengan dua bunyi tembakan.
Katanya, tiba-tiba datang dua lelaki memakai penutup muka dan bersenjata pistol masuk ke pasar sebelum mengarahkannya serta beberapa peniaga dan pelanggan menyerahkan wang tunai.
“Selepas memperoleh habuan, kedua-duanya terus melarikan diri dipercayai bersama dua lagi rakannya yang menunggu di luar pasar bersama dua motosikal," katanya yang turut kerugian RM400.