Search This Blog

Monday, December 1, 2014

Dua lelaki ditahan kerana curi kereta mewah


30 November 2014
KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki terlibat melarikan sebuah kereta mewah bernilai kira-kira RM200,000 setelah memecah masuk sebuah rumah di Brickfields dekat sini dua hari lalu.  
    
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, dalam kejadian kira-kira 6.50 petang itu, kedua-duanya yang berusia 23 tahun ditahan di sebuah kedai aksesorikereta di Jinjang Utara ketika sedang menempah plat baru untuk digunakan pada kenderaan curi itu.

Menurutnya, ketika ditahan polis menemui sebuah kunci kereta berlambangkan Mercedez Benz, serangkai anak kunci kereta jenama Hyundai, dadah jenis syabu seberat dua gram, sebilah pedang samurai berukuran 68cm, empat telefon bimbit serta empat cukai jalan.
    
"Kira-kira sejam setengah sebelum ditahan, seorang pemilik kenderaan terbabit telah membuat laporan polis berhubung kejadian rumahnya dipecah masuk sebelum mendapati keretanya hilang.
    
"Suspek juga turut memecahkan sebuah lagi kereta lain di Brickfields dan mengambil cukai jalan kenderaan itu bagi tujuan membuat nombor pendaftaran di kedai aksesori," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.     
    
Munusamy berkata, kedua suspek kini ditahan reman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
    
Kedua-duanya turut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk rompakan di USJ 8 pada tahun lepas.
    
"Suspek tidak bekerja dan telah terlibat dengan jenayah ini sejak empat tahun lalu," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment