Search This Blog

Tuesday, December 16, 2014

Drama tebusan di Sydney


SEORANG pekerja kelihatan berjaya melarikan diri dari Kafe Lindt dan diselamatkan oleh anggota polis.


SYDNEY – Pihak polis Australia mengepung sebuah kafe di tengah bandar ini semalam selepas seorang lelaki bersenjata menjadikan beberapa pelanggan dan pekerja di premis berkenaan sebagai tebusan.
Drama tebusan di Kafe Lindt yang terletak di Martin Place, Sydney itu bermula selepas seorang lelaki masuk ke premis berkenaan kira-kira pukul 9.45 pagi waktu tempatan sebelum mengeluarkan selaras senapang patah.
Lelaki tersebut kemudiannya dilihat mengarahkan tebusan berdiri di hadapan cermin di kafe itu dan dua lagi tebusan dilihat memegang sehelai bendera berwarna hitam tertera kalimah syahadah.
Bendera tersebut biasanya digunakan oleh kumpulan militan Islam seperti Islamic State (IS) dan kumpulan rangkaian pengganas al-Qaeda.
Beratus-ratus anggota polis termasuk anggota separa tentera, pasukan SWAT dan penembak tepat mengepung kawasan sekitar premis berkenaan.
Pihak polis turut menutup beberapa jalan ke lokasi kejadian dan mengarahkan bangunan berhampiran kafe itu dikosongkan.
Sebuah akhbar di Australia melaporkan bahawa lelaki itu dikenali sebagai Man Haron Monis, 49, seorang pelarian dari Iran yang mendapat perlindungan di negara itu pada 1996.
Lapor akhbar tersebut, Man Haron dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kerana terlibat dalam kes pembunuhan bekas isterinya dan 40 kesalahan serangan.
Sehingga kini polis masih belum mengesahkan jumlah tebusan yang ditawan tetapi beberapa laporan media melaporkan sejumlah 10 hingga 15 tebusan berada di premis berkenaan.
Bagaimanapun, seramai lima tebusan yang terdiri daripada pelanggan dan pekerja kafe dilihat berjaya melarikan diri dari premis tersebut beberapa jam selepas ditawan.
Kafe berkenaan terletak bertentangan dengan pejabat stesen televisyen Seven Network yang melaporkan kejadian itu secara langsung.
Seorang wartawan Seven Network, Chris Reason dalam laman Twitternya memberitahu, lelaki bersenjata itu dilihat berang dan menjerit ke arah tebusan yang lain selepas menyedari terdapat beberapa tebusan melarikan diri.
“Pada waktu malam kafe berkenaan bergelap tetapi tidak dapat dipastikan sama ada pihak polis memotong bekalan elektrik,” katanya.
Ujarnya, dia boleh melihat wajah tebusan di dalam kafe berkenaan yang kelihatan bingung, ketakutan dan ada yang menangis.
“Kami mengira terdapat 15 tebusan yang berada di dalam kafe itu,” tambahnya.
Seorang penyampai radio 2GB di Sydney, Ray Hadle mendakwa menerima tiga panggilan telefon daripada salah seorang tebusan yang ditawan.
“Saya boleh mendengar seorang lelaki mengarahkan tebusan itu supaya meminta saya menyiarkan beberapa tuntutannya secara langsung di radio.
“Bagaimanapun, saya menolak permintaan itu kerana perkara tersebut bukanlah kepakaran kami,” katanya.
Terdapat laporan bahawa lelaki tersebut mendesak untuk bercakap dengan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott tetapi tiada pengesahan mengenainya.
Abbott dalam satu sidang akhbar berkata, beliau percaya kejadian tersebut bermotifkan politik.
“Ini adalah satu kejadian yang sangat mengganggu. Saya memahami kebimbangan dan tekanan yang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya.
Ketua Polis Australia, Andrew Scipione berkata, pihaknya akan melakukan apa yang perlu bagi memastikan drama tersebut diselesaikan secara aman. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3M0VIxzR9 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment