Search This Blog

Monday, December 1, 2014

Ditemui tidak bermaya


Dungun: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu dikatakan dibawa tiga lelaki menaiki sebuah kereta sebelum ditinggalkan di Bandar Kemaman.
Zahid Husson Mohd Rafiq, warga Mynmar yang tinggal di rumah ibu bapanya di Jalan Duku, Kampung Cacar Paka, ditemui semalam dalam keadaan tidak bermaya oleh orang ramai di pekarangan Hospital Kemaman, jam 3.30 petang.
Bapa saudara mangsa, Mohd Amin Abdul Karim, 41, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada kenalan yang juga warga Myanmar di Kemaman memaklumkan orang ramai menemui seorang kanak-kanak lelaki dan memintanya pergi ke sana.
“Saya bersama ibu dan bapa mangsa bergegas ke lokasi berkenaan dan syukur kepada Allah apabila mendapati kanak-kanak itu memang anak saudara saya.
“Anak saudara bercerita selepas ditinggalkan tiga lelaki terbabit dia tidak dapat memberitahu perkara sebenar kerana tidak tahu berbahasa Melayu. Ketika hilang seminggu, dia tidur di masjid dan surau serta merayau di sekitar bandar Kemaman,” katanya.
Mohd Amin berkata, dia berterima kasih jemaah masjid dan surau di Kemaman yang sanggup memberi anak saudaranya itu makan dan tempat perlindungan.
Semalam, Metro Ahad melaporkan kehilangan kanak-kanak terbabit selepas memberitahu ibunya untuk membeli makanan ringan di sebuah kedai runcit, kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Selepas beberapa hari mencari, keluarganya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Paka pada Jumaat lalu, kira-kira jam 10 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan kanak-kanak terbabit di Kemaman.
“Keluarga mangsa yang dimaklumkan kemudiannya bergegas ke Kemaman sebelum membawa pulang kanak-kanak terbabit ke Paka.
“Polis ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu sehingga kanak-kanak itu ditemui. Kejadian ini boleh dijadikan pengajaran kepada golongan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:12 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/13226#sthash.YLsEE4Pg.dpuf

No comments:

Post a Comment