Pengarah Kastam KLIA, Datuk Omar Chik Lim berkata, dalam kes pertama pada 7 Disember lalu, seorang wanita warganegara Australia yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Shanghai, China ke KLIA telah dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Imbasan ke atas beg galas yang dibawanya menemukan imej mencurigakan dan hasil pemeriksaan rapi mendapati satu bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk putih disorokkan di satu ruang khas.
“Setelah diuji, serbuk berkenaan yang seberat 1.5 kilogram itu adalah syabu bernilai RM285,000,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA, di sini hari ini.
Beliau berkata, wanita berusia 51 tahun itu kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes kedua semalam, seorang lelaki warganegara India berusia 27 tahun ditahan dan hasil imbasan ke atas sebuah bagasi beroda yang dibawanya menemukan beberapa bungkusan serbuk putih yang disorok dalam satu ruang khas.
Omar berkata, hasil ujian mendapati serbuk berkenaan adalah syabu seberat 5.34 kilogram bernilai RM1.014 juta.
“Suspek turut menaiki pesawat MAS iaitu dari Chennai, India ke KLIA. Kedua-dua kes menggunakan modus operandi yang sama iaitu menyorokkan dadah dalam ruangan khas bagasi,” katanya.
Dalam pada itu, Omar memberitahu, statistik kes dadah di KLIA sejak Januari sehingga semalam mencatatkan 32 kes dan membabitkan rampasan sebanyak 347.45 kilogram dadah bernilai RM62.2 juta.
“Daripada jumlah itu, 18 daripada 22 yang ditahan merupakan warga asing,” katanya yang turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah, rokok, minuman keras dan mercun dengan menghubungi talian 1-800-88-8855.