Portal berita Mail Online melaporkan, kerja-kerja penambah baikan landasan di beberapa stesen kereta api tidak disiapkan mengikut jadual, sehingga menimbulkan kemarahan Setiausaha Pengangkutan Britain, Patrick McLoughlin.
Keadaan paling huru-hara berlaku di Stesen Finsbury Park di London Utara, apabila stesen itu terpaksa ditutup oleh polis selama dua jam dari pukul 11 pagi waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) setelah terlalu ramai penumpang dari stesen utama King Cross diarahkan ke stesen itu.
Pengumuman gangguan perkhidmatan di Stesen King Cross dibuat lewat pada 24 Disember lalu menyebabkan penumpang tidak mempunyai masa untuk menukar jadual perjalanan mereka.
Sebahagian penumpang dilaporkan terpaksa bermalam di stesen berkenaan dalam cuaca sejuk bagi menunggu perkhidmatan pengangkutan itu beroperasi semula.
Seorang pengguna, Margaret Sums, 67, yang mahu pulang ke rumahnya di Leeds, berkata, dia terkandas di Stesen Finsbury Park.
“Platform stesen sangat sesak dengan orang ramai yang turun dan naik kereta api,’’ katanya.
Sementara itu, McLoughlin yang berang dengan kejadian itu menyifatkan masalah itu tidak sepatutnya berlaku.
Beliau turut menghubungi Ketua Eksekutif operator stesen Network Rail, Mark Carne untuk mendapat penjelasan berhubung apa yang berlaku.