Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi menyelamatkan seorang bayi lelaki yang dibuang ke dalam saluran paip najis di daerah Suide, wilayah Shaanxi, China, kelmarin. – AGENSI
Mail Online melaporkan, bayi itu berjaya diselamatkan selepas orang ramai terdengar tangisannya dari saluran pembetung tersebut dan menghubungi pasukan bomba.
Ibu bayi itu dipercayai melarikan diri sejurus melahirkannya.
Bayi lelaki dinamakan Xiaoxiao yang membawa maksud ‘budak kecil’ itu bernasib baik kerana masih selamat dan hanya mempunyai calar-calar kecil di bahagian badannya.
“Usaha menyelamatkan bayi itu mendebarkan kerana jika seseorang menggunakan tandas dan mengepam air ke saluran paip, mangsa boleh lemas.
“Pasukan kami juga terpaksa menggunakan peralatan lain untuk memecahkan saluran paip bagi mengelakkan bayi malang itu cedera sebelum menariknya keluar,” ujar Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat, Li Zhi.
Katanya lagi, bayi lelaki tersebut masih mempunyai tali pusat, menandakan baru dilahirkan sebelum dibuang ibunya.
Xiaoxiao kemudian dihantar ke hospital untuk dibersihkan dan diberi minum susu, tetapi tidak memerlukan rawatan lanjut.
Doktor yang merawat Xiaoxiao memberitahu, bayi itu berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi.
Dia kini dijaga oleh anggota bomba yang menawarkan diri menjadi ibu bapa sementara ketika polis mencari ibu kandungnya.