Search This Blog

Thursday, December 11, 2014

Bayar Rita RM500


Oleh Nor Azura Abdul Jalil

zura_jalil@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Keputusan kes tuntutan nafkah dua anak lelaki difailkan pelakon Rita Rudaini terhadap bekas suaminya, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak yang sepatutnya ditetapkan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan kelewatan pemain yang mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu memfailkan hujahan balas.
Berikutan itu, Hakim Syarie Abd Halim Abu Samah memerintahkan Aidil selaku defendan membayar kos kehadiran RM500 kepada Rita Rudaini selepas membenarkan permohonan peguam Rita, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang memohon mahkamah mengenakan kos kepada defendan kerana kegagalan memasukkan hujahan pada masa yang ditetapkan 22 Oktober lalu.
“Kelewatan defendan memfailkan hujahan balas menyebabkan plaintif tidak dapat memfailkan hujahan penutup.
“Jadi wajar defendan dikenakan kos sebagai pengajaran pada masa akan datang dan tidak membuang masa mana-mana pihak,” kata Abd Halim.
Terdahulu di awal prosiding, Mohd Zaidi memberitahu mahkamah pihaknya memfailkan hujahan pada 20 Ogos lalu, bagaimanapun defendan hanya memfailkan hujahan balas pada 1 Disember lalu.
“Kelewatan itu menyebabkan penganiayaan terhadap anak guam saya.
“Jadi saya mohon kos di atas kegagalan defendan berbuat demikian pada tarikh ditetapkan mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah peguam syarie Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Aidil dengan alasan kes itu tetap berjalan walaupun untuk sebutan.
“Kami memohon maaf atas kelewatan itu kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Mahkamah menetapkan 26 Januari tahun depan untuk keputusan kes itu.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Rita Rudaini melahirkan rasa kecewa kerana keputusan kes yang ditunggunya sejak dua tahun lalu tidak dapat diketahui semalam.
“Saya kecewa sangat, menyusahkan semua orang. Bukan dia seorang saja yang sibuk. Semua orang ada tugas dan tanggungjawab masing-masing,” luahnya.
Aidil berkata, dia mahu fokus pada permohonannya untuk mengubah perintah hak penjagaan anak (hadanah) di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kerana sudah lama berlembut berhubung isu berkenaan.
“Sudah enam bulan lebih tak dapat jumpa anak. Saya perlu buat sesuatu dengan lebih tegas kerana sebelum ni saya banyak berlembut dan beri kelonggaran.
“Kali terakhir saya jumpa anak-anak seminggu sebelum berkahwin. Kalau ada kerjasama saya tak failkan permohonan ini. Jadi saya nak mahkamah sendiri yang tentukan masa spesifik untuk saya dan anak-anak.
“Hari ini (semalam) ditetapkan untuk proses sulh, namun dia (Rita Rudaini) tidak hadir,” katanya..
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:43 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/15365#sthash.nojab6fI.dpuf

No comments:

Post a Comment