BANGKOK - THAILAND. Negara anggota Asean sangat bimbang dengan penularan penyakit Ebola di Afrika Barat ketika ini, walaupun rantau ini terletak jauh dari kawasan itu.
Jen Prayuth Chan-ocha
Jen Prayuth Chan-ocha
Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-ocha hari ini mempengerusikan majlis perasmian mesyuarat negara anggota Asean Campur 3 (China, Jepun dan Korea Selatan) untuk meningkatkan kesiapsiagaan serta respons terhadap ancaman Ebola, di samping menjamin kesihatan penduduk di rantau ini.
"Walaupun rantau Asean terletak jauh dari kawasan terjejas, persiapan perlu dibuat semua rantau kerana dunia ini dihubung rapat melalui ekonomi, perdagangan dan perjalanan, terutama pengangkutan antarabangsa," kata kenyataan dalam laman sesawang Kerajaan Thailand.

Katanya penganjuran mesyuarat berkenaan mencerminkan keazaman dan kemampuan negara anggota Asean Campur 3 untuk memberi respons terhadap penularan dan krisis akibat penyakit itu.
Thailand bersedia bertukar-tukar pengalaman tentang pencegahan dan pengawalan penyakit ini dengan negara lain, katanya.       

Sehingga 10 Dis, penularan Ebola menjejaskan 17,942 individu dan meragut 6,388 nyawa, dengan kadar kematian akibatnya sebanyak 35 peratus.

Setakat ini, tiada laporan tentang jangkitan penyakit itu di rantau Asean.
Lebih 100 orang menghadiri mesyuarat itu untuk berkongsi pengalaman, amalan dan membina kerjasama konkrit bagi menyediakan mekanisme berkesan untuk memerangi ancaman Ebola dan menyokong usaha global mencegah penularan penyakit itu. - Bernama