SEORANG lelaki bakal dihadapkan ke mahkamah selepas menikam sehingga mati bapanya di West End, London, baru-baru ini.

Mayat David West, 70, yang merupakan pemilik kelab malam di Mayfair ditemui berhampiran kediamannya di Jermyn Street, Jumaat lalu.

Hasil bedah siasat mendapati kematian West berpunca daripada satu tikaman tunggal.

Beberapa jam selepas pembunuhan, polis berjaya mengenal pasti suspek utama iaitu anak lelaki mangsa yang juga dikenali sebagai David West berumur 44.

Susulan daripada itu, West Jr bakal dihadapkan ke Mahkamah Mejistret Westminster.

Difahamkan, dua beranak itu merupakan rakan kongsi dalam perniagaan alkohol dan kelab malam sekitar London.

Sementara itu, rakan mangsa, Harry Barnet tidak percaya West Jr sanggup mencabut nyawa bapanya sendiri.

"Amat sukar untuk mempercayainya. Hubungan mereka sangat rapat malah Dave tinggal bersama bapanya," kata Barnet.

Difahamkan, West Sr amat terkenal dalam kalangan orang kenamaan dan juga seorang kaki perempuan. - Daily Mail