Motosikal ditunggangi mangsa yang remuk.
Motosikal ditunggangi mangsa yang remuk.
SEREMBAN -  Seorang juruteknik maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 258 Lebuhraya Utara - Selatan, arah selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Akmal Arifen, 23, beralamat di Taman Pedas Indah, Pedas, Rembau meninggal dunia akibat mengalami cedera parah pada bahagian kepala dalam kejadian di bawah jejambat di Jalan Rasah di sini.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z secara berseorangan dikatakan dalam perjalanan dari arah Seremban 2 menuju ke Senawang.

“Sejurus sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah lori.

“Ketika kejadian cuaca baik dan permukaan jalan juga kering.Terdapat empat lorong jalan dan ketika itu motosikal mangsa di lorong kedua dari kiri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Kata jurucakap, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian.