Search This Blog

Sunday, December 7, 2014

5 penyeludup dadah akan ditembak


Jakarta: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan hukuman mati dilaksanakan ke atas lima pesalah dadah hujung bulan ini, selari dengan keputusan mahkamah.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Tedjo Edhy Purdijatno berkata, keputusan itu dibuat selepas Jokowi berbincang dengannya di pejabat presiden.
“Ini bukan keputusan Jokowi seorang. Beliau hanya melaksanakan hukuman yang sudah dijatuhi mahkamah selepas pesalah terbabit kehabisan peluang dari segi undang-undang untuk mendapatkan pembebasan atau pengampunan,” kata Tedjo.
Menurutnya, kelima-lima pesalah itu adalah antara 64 orang yang menanti hukuman mati.
Mereka akan berdepan dengan skuad penembak bulan ini sementara hukuman ke atas 20 lagi pesalah akan dilaksanakan tahun depan.
Tedjo bagaimanapun enggan mendedahkan identiti atau kerakyatan kelima-lima pesalah itu.
Katanya, kerajaan kini hanya menanti pejabat peguam negara untuk menyiapkan dokumen yang diperlukan bagi melaksanakan hukuman ke atas mereka.
Data Agensi Narkotik Kebangsaan menunjukkan 77 penyeludup dadah dihukum mati sejak 2004 dengan sembilan daripada mereka sudah menjalani hukuman itu. Dari jumlah itu, 47 warga asing, termasuk wanita Britain berusia 58 tahun, Lindsay Sandiford yang rayuannya ditolak oleh Mahkamah Agung Ogos tahun lalu dan dua warga Australia dari kumpulan yang dikenali ‘Bali Sembilan’.
Pentadbiran bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono berulang kali diselar kerana bersikap tidak tegas terhadap penyeludup dadah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14162#sthash.8G6Oq9zp.dpuf

No comments:

Post a Comment