LIMA lelaki terdiri dari Mohd. Ibroni Abdullah, Mohd. Zamri Saad, Che Sapian Abdullah, Mohd. Rashidi Othman dan seorang warga Myanmar menghadapi dua tuduhan merompak secara berkumpulan dan menculik dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, semalam. – UTUSAN/ISMAIL KAMADIN
Mohd. Ibroni Abdullah, 34, Mohd. Zamri Saad, 32, Che Sapian Abdullah, 53, Mohd. Rashidi Othman, 34, dan warga asing terbabit, Nor Alam Abdul Goni, 29, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan jurubahasa kepada mereka di hadapan Hakim Ooi She Owyen.
Bagi pertuduhan pertama, kelima-lima mereka bersama-sama lima lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Jaafar Anumia dan melarikan dua unit telefon bimbit jenis Nokia model 225 dan Ninetology model Vox Class, dua kipas angin, dokumen-dokumen penting serta wang tunai sebanyak RM6,000.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kelima-lima mereka bersama-sama lima lagi yang masih bebas turut didakwa menculik Jannor Tara Abd. Latif dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.
Pertuduhan kedua itu dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah beralamat No. 36, Kampung Rambai, Pendang pada pukul 2.30 pagi, 21 November 2014.
Sementara itu, peguam, T. Jayaraj yang mewakili Mohd. Ibroni dan Mohd. Rashidi memohon agar anak guamnya itu diberi jaminan pada jumlah yang rendah memandangkan kedua-dua mereka hanya bertugas sebagai pemandu lori dengan kadar pendapatan sekitar RM1,000 hingga 1,800 sebulan.
“Selain itu, Mohd. Ibroni melakukan kerja-kerja kampung yang membolehkannya memperoleh pendapatan tambahan sekitar RM1,800 sebulan. Dia merupakan bapa kepada empat anak sementara isterinya, seorang suri rumah yang sedang mengandung empat bulan menghidap penyakit talasemia.
“Mohd. Rashidi yang juga bapa kepada empat orang anak merupakan satu-satunya individu yang menanggung keluarga memandangkan isterinya seorang suri rumah. Selain itu, kaki tertuduh patah sewaktu ditangkap dan memerlukan rawatan susulan di hospital,” ujarnya.
She Owyen kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat tertuduh warga tempatan itu manakala Nor Alam pula dikenakan jaminan RM10,000 berserta dua penjamin.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali.