Search This Blog

Saturday, November 22, 2014

Waspada sindiket menyamar polis

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap sindiket yang menyamar sebagai anggota dan pegawai polis meminta wang suapan bagi melepaskan anggota keluarga yang ditahan kerana memiliki dadah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli, berkata bermula Januari lalu hingga kini, sebanyak enam kes dilaporkan berlaku di kawasan Subang Jaya melibatkan kerugian sebanyak RM48,000.
"Sindiket akan membuat panggilan kepada mangsa dengan menggunakan perisian komputer dan perkakas seperti 'Magic Jack' dan lain-lain menerusi rangkaian internet.
"Ia dikenali sebagai suara yang dikirim melalui protokol internet atau dikenali sebagai 'Voice Over Internet Protocol' (VOIP)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, sindiket kemudian mencemaskan mangsa dengan memaklumkan berkenaan penahanan anggota keluarga berkenaan atas kesalahan memiliki dadah dan kemudian meminta wang suapan sebagai balasan untuk melepaskannya.
"Mangsa kemudian diminta mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sindiket bagi proses penyerahan wang itu antaranya meletakkan wang di tempat awam seperti di dalam tong sampah dan di perhentian bas bagi mengelak daripada dikesan," katanya.
Yahaya berkata, bagi menangani situasi itu, masyarakat perlu mendapatkan pengesahan pihak polis dengan mengunjungi mana-mana balai polis berdekatan untuk mendapatkan kepastian.
"Jangan cemas...cuba berhubung dengan anggota keluarga terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan atau keputusan diambil," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di talian 03-2616 3999 atau 03-2616 3822.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment