GUA MUSANG – Seorang lelaki warga emas, Mohamed Hussin Zakaria, 66, maut apabila motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta Naza Citra di Simpang Tiga Jalan Persiaranraya dekat Stesen Shell, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.15 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari kebunnya di Taman Rusa untuk pulang ke rumahnya di Simpang Tiga RPT Kesedar Sungai Terah, Gua Musang.

Beliau berkata, sebaik sampai di lokasi itu, sebuah kereta Naza Citra yang dipandu seorang wanita cuba membelok kanan untuk memasuki simpang ke Pasar Besar melalui Jalan Hospital Gua Musang (HGM) dan berlanggar dengan mangsa.

“Mangsa tercampak lima meter dan tersandar di tiang lampu jalan dalam keadaan berlumuran darah kerana cedera parah di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Saiful Bahri berkata, bagaimanapun wanita yang berusia lingkungan 60 an seorang peniaga di pasar besar yang memandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam RPT Kesedar Sungai Terah.

Isteri Mohamed Hussin, Rahmah Mahmood, 65, ketika ditemui di Bilik Mayat HGM berkata, arwah suaminya boleh dikatakan setiap pagi pergi ke kebunnya yang terletak di Taman Rusa tepi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Beliau berkata, kebiasaannya sebelum jam 12 tengah hari dia pulang ke rumah untuk ke masjid menunaikan solat Zuhur, tetapi hari ini (semalam) tidak sampai-sampai ke rumah walaupun telah jam 12 tengah hari.

“Sekejap kemudian datang beberapa orang yang mengenali arwah memberitahu kepada mak cik mengenai suami kemalangan dan suruh mak cik datang ke hospital segera,” katanya yang turut dilawati Adun Galas, Ab Aziz Yusof.

Menurutnya, sebaik menerima berita itu, terlintas di fikirannya mengenai percakapan arwah tiga hari berturut-turut berbual pasal kematian dan sehingga malam kelmarin pun ada lagi bercakap mengenai perkara itu.