Che Denas hanya mampu melihat rumah sewa peninggalan suaminya musnah dalam kebakaran, Jumaat lalu.
Che Denas hanya mampu melihat rumah sewa peninggalan suaminya musnah dalam kebakaran, Jumaat lalu.
POKOK SENA - Seorang warga emas hanya mampu melihat rumah sewanya musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Durian, Mukim Gajah Mati, petang Jumaat lalu.

Che Denas Hamid, 73, berkata, dia menyedari rumah yang disewakan kepada seorang peniaga buah-buahan itu terbakar ketika mengambil pakaian di jemuran.

"Tok rasa panas seperti bahang api. Apabila tinjau, Tok dapati rumah sewa  terbakar dan penyewa rumah pula tiada pada masa itu," katanya.

Menurutnya, melihat api yang semakin marak, cucunya, Mohd Faizal Mohd Radi, 28, terus membuat panggilan bomba.

“Tok hanya mampu melihat sahaja dan lutut juga turut sakit hingga tak mampu berjalan lagi. Keadaan api yang semakin marak itu membimbangkan Tok dan terpaksa menggunakan tongkat bagi mengambil kad pengenalan kerana bimbang api menyambar rumah Tok.

"Syukur bomba cepat datang dan sempat mengawal api sebelum merebak ke rumah Tok," katanya.

Che Denas berkata, penduduk kampung juga tidak sempat membantu kerana api cepat merebak hingga menyebabkan mereka sukar masuk menyelamatkan barang dalam rumah itu.

“Kebakaran itu menyebabkan mata pencarian Tok selama ini sudah berakhir kerana itulah sumber pendapatan selama ini.

"Kini Tok hanya tinggal bersama seorang cucu dan dialah yang membantu mencari rezeki," katanya.

Dia berkata, Mohd Faizal terpaksa menahan pukat bagi menangkap ikan dan kemudiannya dijadikan ikan kering untuk dijual bagi menampung perbelanjaan seharian.
 
Kata Che Denas, dia sudah tidak mampu membina semula rumah peninggalan suaminya itu kerana masalah kewangan yang dihadapinya sekarang.

Rumah yang disewa RM80 sebulan itu dikatakan wasiat suaminya sebelum meninggal dunia supaya dapat menampung perbelanjaan harian.