Kelihatan mangsa diseret dua suspek menuju ke kereta putih yang dinaiki oleh kumpulan penjenayah tersebut.
Kelihatan mangsa diseret dua suspek menuju ke kereta putih yang dinaiki oleh kumpulan penjenayah tersebut.
SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas, mengalami kerugian RM56,900 selepas disamun oleh empat lelaki bersenjatakan parang di Jalan Rasah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian, kira-kira jam 12.20 tengahari itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an, diseret dua lelaki ke dalam sebuah kereta berwarna putih, selepas dia mengeluarkan wang dari sebuah bank, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, siasatan awal mendapati mangsa dilarikan sekumpulan suspek berusia lingkungan 30-an, sehingga ke Pedas, sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan terikat di Ulu Kancong.

“Hasil keterangan mangsa, kita dimaklumkan semasa mangsa dilarikan itu, dia berada dalam keadaan mata tertutup (diserkup dengan kain) dan tangan diikat dengan menggunakan pita pelekat.

“Setibanya di Ulu Kancong Rantau, mangsa kemudiannya diturunkan dan ditinggalkan dalam keadaan tangan terikat.

“Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh orang awam, yang melalui jalan tersebut dan kemudian dibawa ke Balai Polis Pedas untuk membuat laporan,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan menerima empat jahitan akibat terkena parang yang dilibas suspek.

Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah Kilinik Kesihatan di Pedas, untuk mendapatkan rawatan susulan.

Kata Muhamad Zaki, kes akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa melakukan samun.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta untuk tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan untuk membantu siasatan, atau menghubungi di talian, 06-7682222 Balai Polis Seremban 2," katanya.

Sementara itu, video berdurasi 32 saat yang dipercayai mempunyai kaitan kes samun berkenaan kini menjadi viral apabila ia dimuat naik oleh seorang saksi kejadian, dikongsi ramai pengunjung di laman sosial.