Suspek (dua, kiri) ditahan untuk siasatan lanjut.
Suspek (dua, kiri) ditahan untuk siasatan lanjut.
LUNAS - Seorang tukang masak di sebuah restoran ditahan kerana memiliki motosikal curi di Taman Makmur di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya membuat pemantauan dan mengekori suspek sejak seminggu lalu sebelum serbuan dijalankan.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun bertindak menyembunyikan motosikal curi terbabit di bahagian dapur rumahnya.

"Ketika serbuan dibuat, suspek berada dalam rumah bersama keluarganya dan diminta memberikan kerjasama bagi memudahkan siasatan dijalankan.

"Pada mulanya suspek enggan memberikan sebarang maklumat bagaimanapun setelah dipujuk, suspek bersetuju menunjukkan motosikal terbabit," katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, dari pemeriksaan dijalankan, polis menemui motosikal yang disorokkan di bahagian belakang rumah di tepi dapur.

Katanya, hasil semakan dibuat terhadap motosikal itu mendapati ia masih dilaporkan hilang sejak Julai lalu di Lunas.

"Suspek dan motosikal terbabit dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.

"Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya.