Search This Blog

Sunday, November 2, 2014

Tiga lelaki bertopeng samun asrama pekerja


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 November 2014


BALIK PULAU - Dua wanita warga Indonesia trauma apabila asrama mereka di Lebuh Batu Maung di sini, dimasuki tiga lelaki bertopeng dalam satu kejadian samun, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kedua-dua wanita berkenaan dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan tiga lelaki itu.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek memakai baju gelap mengacukan parang dan mengarahkan kedua-dua mangsa menyerahkan barangan berharga kepada mereka.

Bimbang dicederakan, kedua-dua mangsa yang berusia awal 20-an terpaksa menyerahkan barang berharga sebelum suspek bertindak menggeledah kesemua bilik di rumah berkenaan.

Sumber berkata, daripada keterangan awal mangsa mendapati suspek dikatakan menggunakan parang panjang dan rod besi ketika menyamun asrama berkenaan.

“Suspek melarikan dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan wang tunai berjumlah RM570 milik mangsa.

“Selepas mendapatkan barangan berharga itu, mereka kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan kereta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya, keterangan kedua-dua mangsa diambil dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan” katanya.

No comments:

Post a Comment