Siew Ying (kanan) dan Dafney Ho melihat barang miliknya di kedai digeledah penjenayah di Uptown Avenue, petang kelmarin.
Siew Ying (kanan) dan Dafney Ho melihat barang miliknya di kedai digeledah penjenayah di Uptown Avenue, petang kelmarin.
SEREMBAN – Tiga kedai di Uptown Avenue, Seremban 2, di sini, dipecah masuk penjenayah, petang kelmarin.

Sebuah kafe dan dua restoran menyajikan makanan jepun dan barat itu disedari dimasuki penjenayah oleh pemilik restoran.

Salah seorang pemilik restoran, Loh Siew Ying, 57, berkata, dia berasa pelik melihat pintu hadapan premis rosak sejurus tiba di kedai kira-kira jam 3 petang.

“Sebaik tiba di kedai, saya cuba membuka pintu dengan kunci tetapi tidak boleh kerana pintu seperti sudah dirosakkan.

“Saya berasa tidak sedap hati dan terus membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan saya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pintu premis kedainya itu dapat dibuka selepas meminta bantuan orang ramai dan kelihatan barangan kedai dalam keadaan baik.

“Saya segera ke bahagian kaunter dan terperanjat melihat peti simpanan duit yang mengandungi wang lebih kurang RM500 sudah tiada.

“Laci kaunter juga turut bersepah dipercayai digeledah pencuri untuk mencari wang dan barang berharga,” katanya.

Siew Ying berkata, dia kerugian hampir RM1,000 apabila lebih 30 kotak rokok bernilai hampir RM500 dilarikan penjenayah.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kedai saya turut dirosakkan penjenayah bagi menghapuskan bahan bukti.

“Saya percaya pencuri memasuki kedai saya pada tengah malam kelmarin, kerana kawasan di sini sunyi dan tiada pengawal keselamatan,” katanya.

Selain kedainya, katanya, dua restoran berhampiran turut menjadi sasaran penjenayah apabila kedai mereka turut mengalami kejadian sama.

“Saya menerima maklumat daripada rakan-rakan yang beritahu salah sebuah kedai yang dimasuki pencuri kerugian hampir RM8,000,” katanya.

Kesemua pemilik kedai membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, di sini, sejurus selepas kejadian.