Pegawai polis Metro Tangerang, Agus Pranoto ketika ditemukan republika.co.id, berkata, hasil serbuan ke atas sekolah tadika itu, seorang suspek bernama M. Ayatullah Albanna atau Alban turut ditahan kerana dipercayai menanam ganja berkenaan.
Jelas Pranoto, suspek juga mendedahkan bahawa dia memperoleh benih ganja itu daripada sindiket ganja yang dikenali sebagai Lingkar Ganja Nusantara (LGN) dan tumbuhan itu telah mencapai tinggi sehingga lima sentimeter.
“Hasil siasatan mendapati Alban telah menjaga tumbuhan tersebut selama dua bulan, bermula dengan tiga pokok sebelum menjadi 14 pokok.
“Kami masih meneruskan siasatan kerana suspek enggan bekerjasama untuk memberi maklumat lebih lanjut tentang aktiviti dia menanam tumbuhan terlarang itu dan pihak lain yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Alban mengaku dia menanam ganja tersebut untuk dijadikan ubat bagi bayi yang sakit.
Suspek berdepan hukuman sehingga enam tahun penjara jika didapati bersalah.