Kesemua syabu seberat 9.63 kilogram (kg) yang dirampas itu sebahagiannya disembunyikan dalam kasut wanita yang sudah diubah suai dan selebihnya dalam kertas pembungkus hadiah.
Suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an membawa dadah berkenaan menaiki penerbangan dari Hong Kong sebelum transit di Kuala Lumpur dan Kuching untuk diseludup masuk ke negara mereka.
Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Dr. Chai Khin Chung berkata, rahsia dua keldai dadah itu bagaimanapun terbongkar apabila polis berjaya menahan wanita Indonesia terbabit bersama syabu seberat 6.5 kg di LTAK pada pukul 11.30 malam semalam.
Menurut beliau, dadah berkenaan disorok oleh suspek dalam beberapa pasang kasut wanita jenis tapak tebal atau `wedges' yang sudah diubah suai dan disimpan dalam bagasi.
“Hasil siasatan lanjut terhadap wanita terbabit, polis kemudian mendapat maklumat tentang seorang lelaki Indonesia yang dipercayai anggota sindiket sama.
“Pada pukul 3.30 pagi ini, sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri telah menyerbu sebuah hotel yang disyaki menjadi tempat penginapan suspek dan berjaya menangkap lelaki itu bersama 3.13 kg syabu yang dibungkus dengan pembalut kertas hadiah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua JSJN negeri, Supritendan Lukas Amet.
Mengulas lanjut, Khin Chung berkata, kes tersebut merupakan rampasan dadah terbesar pernah dicatatkan di Sarawak setakat ini.
Ujarnya, kejayaan menumpaskan sindiket tersebut adalah hasil kerjasama antara pihaknya dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta orang awam.
“Kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 mulai hari ini hingga 13 November ini,” katanya.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan kemungkinan terdapat anggota sindiket yang masih bebas,” katanya.
Tambah Khin Chun, pihaknya juga telah memaklumkan kes tersebut kepada pejabat Kedutaan Indonesia di sini untuk mendapatkan kerjasama bagi membantu siasatan.