Ia berikutan hasil laporan bedah siasat oleh pihak forensik Hospital Serdang mendapati air kencing mangsa yang berusia 25 tahun positif methamphetamine dan amphetamine.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pada masa ini, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa terlibat dengan penggunaan dadah secara langsung.
Katanya, selain itu, hasil laporan tersebut turut mendapati luka di bahagian kepala mangsa adalah konsisten iaitu akibat dihentak dengan objek keras.
“Pemeriksaan dalaman pula mendapati terdapat kesan lebam dan pendarahan baharu pada pangkal leher kanan dan belakang. Tulang rusuk kiri mangsa juga dikesan pernah patah dan dalam proses penyembuhan.
“Sehingga kini, punca kematian belum dapat disahkan namun kita syak kematian itu berpunca akibat dipukul oleh suami mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, wanita yang tidak bekerja itu ditemui mati dengan kesan lebam di seluruh badan di rumahnya. Dia dan suaminya didakwa sering bergaduh.
Yahaya memberitahu, sehingga kini pihak polis masih memburu suami mangsa, B. Vasudevan, 33, yang menghilangkan diri selepas kejadian itu.