Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 48.3 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, petang semalam.
Keadaan kereta mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 48.3 Jalan Sungai Rengit - Kota Tinggi, petang semalam.
KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu anaknya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48.3 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 1 jam 3.40 petang semalam.

Mangsa, Hanaffe Harun, 54, yang bekerja sebagai pemandu difahamkan dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke rumahnya di Felda Adela.

Anak mangsa, Hamidi, 20, berkata, ketika kejadian, dia yang memandu kereta membawa ayahnya dan juga ibunya, Massiah Husin, 50, di mana ketika itu hujan lebat.

“Hujan sangat lebat, sampai sahaja di selekoh dekat tempat kejadian, saya lihat kereta pacuan empat roda itu telah memasuki laluan kami.

“Ekoran itu telah menyebabkan kemalangan,  ayah yang duduk di bahagian penumpang tersepit. Ayah juga mempunyai sakit jantung,  katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi semalam.

Hamidi berkata, arwah ayahnya juga tidak ada menunjukkan apa-apa tanda, namun sejak akhir ini ayahnya gemar mengusik ibunya yang juga merupakan seorang yang kuat melatah.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superindentan Low Hang Seng berkata kemalangan maut itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dengan sebuah Proton Wira.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux dari arah Sungai Rengit menghala ke arah Kota Tinggi telah  bertembung dan berlanggar dengan Proton Wira yang datang dari arah Kota Tinggi ke Sungai Rengit.

“Akibat kemalangan itu, penumpang Proton Wira telah meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di dada manakala pemandunya cedera ringan di kaki. Penumpang bahagian belakang pula patah tangan dan menerima rawatan di HKT.

“Pemandu Toyota Hilux pula mengalami cedera ringan. Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan kawasan jalan selekoh yang mempunyai garisan berkembar berjalur sebagai pembahagi jalan, “katanya.