Search This Blog

Tuesday, November 18, 2014

Remaja simpan 1,000 pil kuda kena cekup


Oleh Mohammad Ishak

am@hmetro.com.my

Jertih: Tiga remaja lelaki termasuk dua pelajar sekolah menengah yang mana seorang daripadanya sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ditahan bersama 1,002 biji pil dipercayai dadah jenis methamphetamine di Seberang Jertih, dekat sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 7.30 petang itu, pelajar sekolah di Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan, berusia 17 tahun itu ditahan bersama rakannya yang juga pelajar tingkatan empat dan seorang remaja berusia 19 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintendan Kamsani Hassan berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut menahan ketiga-tiga suspek di sebuah stesen minyak di Seberang Jertih.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka yang menaiki sebuah Proton Iswara Aeroback dipandu suspek berusia 19 tahun, berhenti di stesen minyak berkenaan dipercayai untuk menjual bekalan dadah kepada pelanggan.
"Ketika polis memperkenalkan diri, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas dan pemeriksaan dalam kenderaan kenderaan suspek menemui bungkusan plastik yang disorokkan di bawah kotak panel gear. Polis menemui lima paket dadah mengandung 1,002 biji pil dipercayai pil kuda selepas memeriksa bungkusan itu," katanya.
"Semua suspek yang berasal dari Tanah Merah, ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 6:59 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/9920#sthash.kDSSnitX.dpuf

No comments:

Post a Comment